PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak berpendirian, derma daripada Kerajaan Arab Saudi yang menjadi pertikaian dalam perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan kisah dongeng.
Sebaliknya beliau menegaskan di Mahkamah Tinggi hari ini, rekod-rekod SWIFT yang diperoleh oleh pihak berkuasa jelas menunjukkan pemindahan-pemindahan wang ke dalam akaun Ambank beliau dibuat oleh Kementerian Kewangan Riyadh.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, pemindahan-pemindahan tersebut telah diproses oleh Saudi Arabian Monetary Authority (SAMA), iaitu bank pusat Kerajaan Arab Saudi.
“Derma tersebut telah dibelanjakan, ia telah dimanfaatkan bagi tujuan politik serta kebajikan masyarakat secara khusus. Segala perbelanjaan telah dibuat melalui cek dengan setiap sen perbelanjaan direkodkan.
“Tiada sebarang lukisan bernilai jutaan ringgit atau harta mewah telah dibeli daripada dana yang saya terima itu,” ujarnya.
Bekas Perdana Menteri menyatakan demikian ketika membacakan kata-kata pengantar daripada kandang tertuduh sebelum pasukan pembelaan memulakan penghujahan lisan berkaitan kes penyelewengan dana 1MDB hari ini.
Najib sedang dibicarakan atas empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Beliau selanjutnya menyatakan, pengesahan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui siasatan di Riyadh pada November 2015 menunjukkan anggota-anggota keluarga diraja Arab Saudi sendiri telah mengesahkan wujudnya derma politik yang telah dijanjikan oleh Almarhum Raja Abdullah.
Ujar Najib, turut disahkan adalah berhubung empat pucuk surat derma yang telah diterimanya serta pemindahan-pemindahan derma yang telah dibuat ke dalam akaun beliau.
“Kesemua tindak-tanduk itu adalah selari dengan keyakinan saya bahawa wang yang telah dipindahkan itu adalah derma yang telah dijanjikan oleh Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi,” ujar beliau.
Bekas Presiden UMNO itu selanjutnya menyatakan, tidak seperti saksi-saksi pendakwaan yang memberi keterangan terhadapnya, beliau sama sekali tidak mempunyai sebarang akaun luar pesisir.
Kata Najib, tidak seperti peguam 1MDB ketika itu, Jasmine Loo Ai Swan atau bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang telah mendaftarkan akaun bank melalui syarikat luar pesisir, beliau sebaliknya membuka akaun bank atas namanya sendiri di sebuah bank tempatan.
Malah, katanya, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah serta-merta dimaklumkan berhubung tujuan pembukaan akaun tersebut iaitu untuk menerima derma daripada Kerajaan Arab Saudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sedang mendengar penghujahan lisan pihak pembelaan yang disampaikan oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette

