KUALA LUMPUR – Pelajar lelaki yang terlibat dalam kes bunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama, minggu lepas akan didakwa di mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataannya hari ini berkata, pelajar berusia 14 tahun itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, esok.
“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan, pihaknya mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap seorang pelajar lelaki terbabit.
“Sehubungan itu, AGC memutuskan untuk mendakwa pelajar terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana kesalahan membunuh,” katanya.
Minggu lalu, ibu mangsa, Wong Lee Ping mendedahkan, terdapat kira-kira 200 kesan tikaman pada badan anaknya
Katanya, kebanyakan kecederaan di bahagian badan sebelah kanan meliputi bahagian leher, termasuk paru-paru namun tiada kecederaan di muka mangsa.
Mangsa, Yap Shing Xuen yang merupakan pelajar Tingkatan 4 maut dipercayai ditikam pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya sekitar jam 9.30 pagi, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek berusia 14 tahun telah ditahan, manakala dua senjata tajam dirampas di lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. MalaysiaGazette

