Bonnie tamatkan zaman bujang

KUALA LUMPUR: Selepas mengangkat ratusan kilogram demi mengharumkan nama negara di pentas dunia, wira para negara Bonnie Bunyau Gustin akhirnya ‘mengangkat’ satu lagi detik paling bermakna dalam hidupnya iaitu menamatkan zaman bujang bersama wanita pilihan hati, Clarissa Jude.

Atlet powerlifting berusia 26 tahun itu sah bergelar suami selepas pasangan berkenaan disatukan dalam upacara perkahwinan sivil di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bahagian Serian, Selasa lalu.

Berita gembira itu turut dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang menitipkan ucapan tahniah kepada wira Paralimpik negara itu.

“Terima kasih kerana berkongsi gambar kegemaran anda dengan saya, Bonnie. Semoga perkahwinan anda diberkati dan penuh kebahagiaan,” tulis Hannah di laman sosialnya semalam.

Bonnie, anak kelahiran Serian yang terkenal dengan sikap merendah diri dan semangat juang luar biasa, turut berkongsi detik manis itu di Instagram miliknya dengan memuat naik tiga keping gambar perkahwinan bersama isteri tercinta dalam busana putih sederhana.

Tanpa mendedahkan banyak mengenai isterinya, Bonnie menulis kapsyen penuh erti:

“Tuhan bukan sahaja memberi saya seseorang untuk dikasihi tetapi seseorang untuk saya membesar bersama, berdoa bersama dan berjalan seiring.”

Kapsyen itu menggambarkan isi hati juara dunia empat kali berturut-turut itu, yang baru sahaja pulang dari Kejohanan Dunia Angkat Berat Para 2025 di Kaherah, selepas mempertahankan kejuaraan dengan angkatan 230 kilogram dalam kategori bawah 72 kilogram lelaki.

Kemenangan itu menambah satu lagi sejarah dalam karier cemerlangnya yang sudah sedia terpahat termasuk menjadi pemenang pingat emas pertama Malaysia dalam acara powerlifting di temasya Paralimpik Tokyo 2020, sebelum mengulangi kejayaan di Paris 2024.

Bonnie yang turut dinobatkan sebagai Atlet Paralimpik Lelaki Kebangsaan Terbaik di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021, 2023 dan 2024 kini melangkah ke fasa baharu dengan senyuman yang penuh syukur.

Daripada pentas dunia ke mahligai bahagia, wira para negara ini membuktikan bahawa kekuatan sebenar bukan sekadar di atas podium, tetapi juga dalam mengangkat makna cinta dan kehidupan.