JOHOR BAHRU: Wanita warga Bangladesh yang sebelum ini ditahan selepas disyaki memotong kemaluan teman lelakinya dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Begum Masuma, 34, pada mulanya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, namun pengakuan itu tidak diterima mahkamah kerana ia dibuat dengan bersyarat serta tertuduh hanya memahami sedikit sahaja pertuduhan itu.
“Faham sikit-sikit. Ini salah ‘suami’,” kata tertuduh yang didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Babu Mondol, 33, dengan menggunakan sebilah pisau, yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di kawasan setinggan belakang sebuah kilang di Gelang Patah, di sini, kira-kira jam 1 pagi, 8 Oktober lalu. Begum yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli memberitahu mahkamah, kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin dan pihaknya juga tidak akan mencadangkan sebarang ikat jamin kerana tertuduh adalah warga asing yang turut didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana tiada dokumen sah untuk memasuki Malaysia.
“Ini juga kesalahan serius kerana mendatangkan cedera parah pada mangsa yang juga teman lelakinya dan mereka berdua tinggal serumah,” katanya.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan perkhidmatan jurubahasa Bangladesh.
Di Mahkamah Majistret pula, Begum didakwa sebagai bukan warga Malaysia didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang kepadanya untuk masuk ke negara ini.
Kesalahan itu dilakukan di pekarangan Balai Polis Gelang Patah, di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari tarikh yang sama dan bagi perbuatan itu, dia didakwa melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Atifah Hazimah Wahab turut menolak pengakuan bersalah dibuat tertuduh kerana wanita itu dilihat seperti tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan kes juga akan disebut semula pada 11 November depan bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bangladesh.
Pada 9 Oktober lalu, media melaporkan seorang wanita warga Bangladesh ditahan polis selepas bertindak kejam memotong kemaluan teman lelakinya akibat cemburu apabila mengetahui lelaki itu masih mempunyai isteri di negara asal.

