Dua maut nahas tiga kenderaan

KLUANG: Seorang pelajar lelaki antara dua maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Johor, Kampung Bukit Kenangan, Renggam petang tadi.

Kemalangan jam 5 petang itu membabitkan sebuah kereta, van pekerja dan pikap.

Mangsa yang maut, Rulijah Ahmad, 51, dan Salam Norazli, 15, masing-masing pemandu dan penumpang kereta.

Seorang lagi penumpang kereta, Osama, 9, yang juga adik kepada Salam dan pemandu van kilang, Chandran Balakrishnan, 53, cedera.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Shoromi Salih, berkata bomba menerima panggilan pada jam 5.16 petang sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi kemalangan.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati kesemua mangsa cedera termasuk pemandu pikap sudah dikeluarkan orang awam.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan manakala dua yang meninggal dunia, diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.