Mangsa banjir Kedah meningkat kepada 1,708 orang

ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 1,708 orang membabitkan 525 keluarga, dengan mereka kini ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah.

Jumlah direkodkan setakat jam 8 malam ini meningkat berbanding 1,562 mangsa daripada 488 keluarga yang ditempatkan di 15 PPS di empat daerah pada jam 4 petang tadi.

Tiga lagi PPS baharu dibuka iaitu dua di Sik dan satu di Bandar Baharu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Danglau di Sik dibuka jam 2 petang menempatkan 67 mangsa daripada 20 keluarga, manakala PPS SK Kampung Betong di daerah sama dibuka jam 5 petang menempatkan 79 mangsa daripada 23 keluarga.

Mereka dari Kampung Jerai; Chepir; Kampung Kemelong; Kampung TJ Satar; Kampung Seberang Pekan Sik; Kampung Belantik Luar; Kampung Kuala Beris; Kampung Jering; Kampung Charuk Padang dan Kampung Relong yang dinaiki air.

Di Bandar Baharu pula, PPS Dewan Badminton Felda Lubuk Merbau dibuka jam 2 petang tadi menempatkan 40 mangsa daripada 14 keluarga.

PPS di Dewan Badminton Tanjung Radin di Pendang yang dibuka jam 2 petang tadi pula ketika ini menempatkan 45 mangsa daripada 12 keluarga, meningkat berbanding tiga mangsa daripada satu keluarga pada jam 4 petang.

Selain itu, mangsa banjir di daerah Kulim berkurangan kepada 1,113 orang daripada 333 keluarga setakat ini berbanding 1,146 mangsa petang tadi.

PPS yang aktif di daerah itu adalah Surau Taman Sang Kancil; Dewan Kampung Paya Tok Betok; Sekolah Menengah Agama (SMA) Ihsaniah Kampung Jangkang, Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Museh; SRJ (C) Khi Min; Dewan Orang Ramai Sungai Karangan; Surau Padang Meha dan SK Merbau Pulas.

Di Baling pula, lima PPS beroperasi adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Siong; SK Seri Bayu; Dewan Tun Abdul Razak (lama) dan Kompleks Belia dan Sukan serta SK Sri Jemeli yang menempatkan keseluruhan 343 mangsa daripada 107 keluarga.

Di Pokok Sena, satu PPS diaktifkan tengah malam tadi di Dewan Serbaguna Pokok Sena meningkat kepada 88 mangsa daripada 26 keluarga berbanding 73 mangsa daripada 23 keluarga sebelum ini.

Setakat ini, lapan daerah di negeri ini terjejas banjir, namun hanya enam membabitkan pembukaan PPS setakat ini.