WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan beliau menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI), semasa lawatan ke Pusat Perubatan Tentera Walter Reed baru-baru ini, namun, enggan menjelaskan sebab pemeriksaan itu dilakukan.
Trump, 79, yang kini dalam lawatan rasmi ke Asia, menyifatkan keputusan imbasan itu sebagai “sempurna” ketika bercakap kepada wartawan dalam penerbangan ke Tokyo.
“Saya buat MRI. Ia sempurna,” katanya ringkas, sambil meminta wartawan untuk “tanya doktor” mengenai sebab sebenar beliau perlu menjalani ujian tersebut.
Pendedahan itu buat pertama kalinya memberikan penjelasan mengapa Trump, yang akan berusia 80 tahun pada Jun tahun depan, menjalani pemeriksaan perubatan kali kedua dalam setahun.
Trump sebelum ini dituduh kurang telus mengenai kesihatannya, dan lawatan mengejut beliau ke pusat perubatan Walter Reed di pinggir Washington pada awal bulan ini, mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kondisi fizikalnya.
“Ya, saya ada lakukannya. Saya dapat MRI. Keputusannya sempurna,” kata Trump.
Saringan imbasan MRI, biasanya digunakan untuk mendiagnosis pelbagai keadaan, bermula daripada tumor, strok dan multiple sclerosis hingga ke aduan yang kurang serius seperti keradangan otot.
Sebelum ini, White House tidak pernah memberikan alasan bagi pemeriksaan hospital pada 10 Oktober itu, yang dianggap tidak biasa memandangkan presiden lazimnya hanya menjalani satu pemeriksaan komprehensif setahun.
Trump, individu tertua yang pernah mengangkat sumpah sebagai Presiden AS, enggan menyatakan mengapa beliau menjalani pemeriksaan tersebut, sebaliknya merujuk wartawan kepada doktornya.
Sementara itu, Jurucakap White House tidak memberikan penjelasan lanjut, namun, memo rasmi daripada doktor peribadi Trump, Kapten Sean Barbabella menyatakan Presiden berada dalam “kesihatan yang luar biasa”, dengan prestasi kardiovaskular, paru-paru, neurologi dan fizikal yang kukuh.
Pemeriksaan tersebut turut merangkumi ujian makmal, penilaian kesihatan pencegahan dan suntikan vaksin selesema serta COVID-19 sebagai persediaan untuk lawatan luar negara.
Sebelum ini, White House pernah mendedahkan Trump mengalami pembengkakan di bahagian kaki dan lebam di tangan kanan, yang dikaitkan dengan keadaan biasa dikenali sebagai “chronic venous insufficiency” serta kesan daripada berjabat tangan secara kerap dan pengambilan aspirin.
Walaupun MRI bukan sebahagian daripada pemeriksaan rutin, Trump tetap menegaskan bahawa laporan kesihatannya adalah antara yang terbaik pernah diterima oleh doktor untuk individu seusianya. – AFP

