MADRID: Vinicius Junior dilaporkan sedang “mempertimbangkan dengan serius” untuk meninggalkan Real Madrid selepas berasakan dia tidak lagi menerima ‘rasa hormat’ daripada pengurus Xabi Alonso, menurut laporan panas media Sepanyol.
Pemain berusia 25 tahun itu dianggap antara penyerang paling berbakat di Eropah selepas membantu Madrid meraih 14 trofi sejak menyertai kelab itu pada tahun 2018.
Namun ketegangan antara Vinicius dan Alonso dikatakan semakin meruncing dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan mencapai kemuncak ketika kemenangan Madrid ke atas Barcelona hujung minggu lalu.
Selepas sekadar bermula di bangku simpanan menentang Getafe sebelum ini, Vinicius kembali ke dalam kesebelasan utama bagi aksi El Clasico yang menyaksikan Kylian Mbappe dan Jude Bellingham menjaringkan gol sekali gus menang 2-1.
Bagaimanapun, tindakan Vinicius yang berang dan meninggalkan padang menuju terowong selepas digantikan pada minit ke-72 mencemarkan sedikit kejayaan Madrid, kemenangan kelima berturut-turut mereka dalam semua pertandingan.
“Saya? Saya? Tuan, tuan! Saya?” jerit Vinicius ke arah Alonso ketika nombor 7 miliknya terpapar di papan pegawai perlawanan keempat.
Ketika menuju ke bangku simpanan, dia dikatakan sempat merungut: “Asyik saya! Saya keluar dari pasukan! Lebih baik saya pergi!” sebelum terus menuju ke bilik persalinan.
Vinicius hanya beraksi sepenuh masa dalam tiga daripada 13 perlawanan pertama musim ini dan bintang Brazil itu kini benar-benar menilai masa depannya di ibu kota Sepanyol.

Menurut akhbar AS, pemenang La Liga tiga kali itu berasakan “statusnya tidak dihormati” oleh Alonso dan kini “pilihan untuk berpindah” sedang “dipertimbangkan secara serius.”
Naib juara Ballon d’Or 2024 itu semakin yakin Alonso “tidak menyukainya,” dan hubungan dingin antara kedua-dua mereka kini menjadi “masalah besar” buat kelab itu.
Namun pengurusan Real Madrid dilaporkan tetap menyokong cara Alonso mengendalikan situasi itu dan bersedia mempertahankan sebarang keputusan yang dibuat pengurus warga Sepanyol itu terhadap bintang berprofil tinggi berkenaan.
Pengurusan Bernabeu juga dikatakan tidak senang dengan kelakuan Vinicius kelmarin dan tidak menolak kemungkinan pemain itu akan dikenakan denda besar sebagaimana kes serupa sebelum ini.
Alonso turut dikatakan kecewa dengan sikap anak buahnya itu, apatah lagi perlawanan berkenaan ditonton di seluruh dunia dan sarat dengan nilai simbolik dalam budaya bola sepak Sepanyol.
Ketegangan antara kedua-duanya dikatakan bermula bulan lalu apabila Vinicius tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Marseille.
Ketika itu, dia dilaporkan memaklumkan kepada rakan terdekat dia tidak menolak kemungkinan berpindah pada jendela perpindahan Januari.
Walaupun pertemuan dalaman selepas itu dilaporkan meredakan keadaan, insiden panas pada aksi El Clasico hujung minggu lalu dikatakan kembali menyalakan api ketegangan antara pemain dan pengurus. – AGENSI

