MELAKA: “Baliklah Hadi… mak dengan abah tak marah, kami semua rindu dan tunggu kamu setiap saat.”
Itu rayuan pilu Khairiman Khazali, 51, selepas anak ketiganya, Hadi Aiman, 18, yang menghidap autisme ringan dan dilaporkan hilang sejak semalam selepas keluar dari rumah di Taman Ayer Keroh Height 1 tanpa membawa dokumen pengenalan diri.
Khairiman berkata, kehilangan Hadi disedari selepas Subuh apabila beliau dan isteri mendapati anak mereka tiada bilik manakala pintu rumah tidak berkunci.
“Hadi keluar diam-diam tanpa IC (MyKad), tanpa telefon, tanpa dompet. Duit simpanan semua dia tinggalkan.
“Dia tulis mesej beritahu kata laluan e-wallet dan telefonnya dan saya syak dia mungkin dalam tekanan,” katanya dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, Hadi Aiman memperoleh keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menunggu penempatan ke institusi pengajian tinggi, namun kursus ditawarkan kurang sesuai dengan keadaannya.
“Dia ada ‘mild autisme’. Dalam keadaan tenang dia okay tapi dalam keadaan tertekan dia mudah sensitif,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada jam 8.11 pagi semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata remaja terbabit berketinggian 170 sentimeter, berat badan 50 kilogram, kurus dengan pakaian terakhir baju-T biru gelap, berseluar trek hitam, berselipar dan berambut pendek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Masli Ali di talian 016-3388846 atau mana-mana balai polis berhampiran.

