TEMERLOH: Kerajaan akan terus memperkasakan komuniti penjaja dan peniaga kecil sebagai nadi utama ekonomi rakyat, melalui pelbagai inisiatif pendigitalan, pembiayaan serta pembangunan kapasiti bawah agenda Malaysia MADANI.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua golongan berkenaan adalah wira ekonomi rakyat yang memacu pertumbuhan domestik dan kestabilan ekonomi negara.
Perdana Menteri berkata, kekuatan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sudah dibuktikan apabila menyumbang RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu dan menyediakan 8.1 juta peluang pekerjaan.
“Mereka inilah yang setiap hari berada di barisan hadapan, dari pasar pagi hingga penjaja malam, demi memastikan rakyat mendapat makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan.
“Mereka adalah wajah sebenar semangat niaga negara,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK2025) di Lurah Semantan, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan berhasrat meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50 peratus nilai KDNK menjelang 2030, selaras Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).
Beliau berkata, langkah itu turut diperincikan melalui Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 yang digubal oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai panduan utama memperkukuhkan komuniti berkenaan.
“Namun, dasar komprehensif di atas kertas perlu disusuli dengan tindakan segera di lapangan agar manfaatnya dapat dirasai golongan sasar,” katanya.
Dalam konteks itu, Anwar menegaskan KUSKOP berperanan penting sebagai peneraju utama dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan benar-benar diterjemahkan bagi membantu penjaja serta peniaga kecil terus berkembang.
Katanya, antara inisiatif diberikan tumpuan ialah Program Jajahan Rakyat oleh KUSKOP dengan kerjasama Bank Rakyat, yang memperluas akses digital dan mempercepatkan transformasi tanpa tunai dalam kalangan peniaga kecil.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan saja meningkatkan kecekapan urus niaga, malah membantu peniaga kecil menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi digital secara inklusif.
“Program ini bukan sekadar menyediakan kemudahan kewangan, tetapi turut mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif serta berdaya saing,” katanya.
Selain itu, usaha memperkasakan penjaja dan peniaga kecil turut dimantapkan melalui Belanjawan 2026 yang memberi tumpuan kepada suntikan dana, bantuan pembiayaan serta galakan ke arah pasaran antarabangsa.
Anwar berkata, tumpuan itu sejajar hasrat kerajaan untuk memastikan peniaga kecil terus berdaya saing, mampu meningkatkan taraf hidup dan menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

