Hakim Danish perlu guna kesempatan di GP Portugal, Valencia

KUALA LUMPUR: Pengurus Pasukan SIC Racing Team MSI, Zulfahmi Khairuddin berharap pelumba negara, Hakim Danish Ramli dapat bersaing secara kompetitif pada penampilannya di dua pusingan terakhir Grand Prix (GP) dunia musim ini dalam kelas Moto3 di GP Portugal dan Valencia.

Hakim Danish, 18, sah akan beraksi pada dua pusingan terakhir musim ini bersama pasukan FRINSA MT Helmets MSI menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka yang terpaksa menamatkan kempennya lebih awal akibat kecederaan.

Pelumba muda sensasi kelahiran Terengganu itu mendapat peluang keemasan selepas Yamanaka disahkan mengalami kecederaan pada jari kelingking kirinya yang memerlukan pembedahan sekali gus memberinya peluang menimba ilmu dan pengalaman lebih awal di pentas dunia.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan semoga cepat sembuh kepada Ryusei Yamanaka atas kecederaan yang dialaminya.

“Terima kasih kepada pasukan MT Helmets – MSI kerana memberikan peluang ini kepada Hakim Danish untuk berlumba pada dua pusingan terakhir di Portimao dan Valencia. Saya berpendapat ini adalah satu ujian buat Danish untuk menyesuaikan diri dan bekerja dengan pasukan sebelum musim penuh bermula tahun hadapan,” kata Zulfahmi.

Katanya, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran yang menggunung buat Hakim Danish, sebaliknya berharap pelumba muda itu dapat mempamerkan tunggangan yang baik dan kompetitif.

“Sejujurnya, kami tidak meletakkan sebarang jangkaan untuk Hakim Danish. Saya hanya berharap dia dapat menunggang dengan baik dan mampu bersaing secara kompetitif di kelompok hadapan,” katanya.

Peluang beraksi di Portimao dan Valencia jelas peluang yang cukup berharga buat Hakim Danish yang sudah pun disahkan akan beraksi sepenuh musim dalam kelas Moto3 bersama pasukan yang sama untuk musim 2026 dan akan bergandingan dengan Yamanaka.

GP Portugal dijadual dari 7 hingga 9 November di Litar Portimao manakala perlumbaan GP Valencia yang juga pusingan penutup tirai MotoGP dijadual pada 14 hingga 16 November di Litar Ricardo Tormo.