Lelaki menyamar polis samun dan rogol wanita ditahan

BINTULU: Suspek utama kes samun dan rogol seorang wanita 20 tahun di kawasan Hutan Simpan Similajau, dekat sini, hujung bulan lalu, diberkas Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, lelaki 50 tahun itu ditahan polis pada 2.30 petang ketika berada di kawasan awam di Sibu.

“Hasil maklumat serta risikan pasukan polis sejak lima hari lalu membuahkan hasil yang mana suspek akhirnya ditangkap polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian 9 malam itu, suspek menyamar sebagai anggota polis dan memperdayakan mangsa dengan menawarkan bantuan kewangan sebelum membawa mangsa ke lokasi kejadian lalu menyamun serta merogol mangsa.

Justeru, Nixon menasihatkan orang awam terutama wanita supaya tidak terpedaya dengan mana-mana individu yang mengaku sebagai penjawat awam sekiranya tidak menunjukkan sebarang tanda pengesahan.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 392/376 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.