KUALA LUMPUR: Peluang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memenangi kes di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bergantung kepada ‘motivated decision’ atau alasan bertulis keputusan yang bakal dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli menjelaskan daripada motivated decision itu, FAM perlu mencari kesalahan fakta dan undang-undang untuk rayuan di CAS nanti.
Beliau berkata, bukti baharu boleh dikemukakan oleh FAM di CAS, namun memerlukan alasan yang munasabah untuk membawa bukti berkenaan dan kenapa ia tidak dikemukakan pada peringkat awal lagi.
“Peluang FAM di CAS bergantung kepada motivated decision yang bakal dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA dan daripada motivated decision, FAM perlu mencari kesalahan fakta dan kesalahan undang-undang.
“Hanya apabila motivated decision dikeluarkan barulah kita boleh mengetahui peluang FAM. Akan tetapi, tanpa melihat motivated decision, dapatan bahawa pemalsuan dokumen masih kekal di peringkat Jawatankuasa Rayuan,” katanya kepada BH Sukan.
Jawatankuasa Rayuan FIFA, kelmarin menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Rayuan itu berhubung hukuman yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu selepas didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Keputusan daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA itu bermakna FAM perlu membayar denda sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta) seperti yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum ini manakala hukuman penggantungan 12 bulan dan denda sebanyak CHF 2,000 (RM10,411) yang dikenakan terhadap tujuh pemain terbabit juga kekal.
FAM menerusi kenyataan daripada Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan bahawa badan induk itu akan membawa kes berkenaan ke CAS.
FAM mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis dan selepas penerimaan keputusan itu, mereka memiliki 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada CAS.
Selain itu, Nik Erman memaklumkan kos yang tinggi perlu disediakan FAM untuk membawa rayuan ke CAS yang mana ia mungkin mencecah ratusan ribu ringgit.
“Kos membawa rayuan ke CAS termasuk kos peguam luar dan kos CAS itu sendiri yang terdiri daripada kos pengurusan dan yang lebih besar adalah kos penimbang tara itu sendiri yang kebiasaannya akan terdiri daripada tiga orang. Kos mungkin mencecah beratus ribu ringgit,” katanya.

