GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pintu masuk ke Semenanjung Gaza dibuka bagi membolehkan bantuan makanan disalurkan secara besar-besaran ke wilayah Palestin yang dilanda kebuluran.Jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP) bagi Asia Barat, Abeer Etefa, berjata program itu mengagihkan pek makanan kepada sejuta penduduk di Gaza sejak gencatan senjata bermula.Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa usaha menyelamatkan nyawa masih perlu diperhebat.”Ketika ini tiada ada alasan diberikan berhubung mengapa lintasan utara yang bersempadan dengan Israel masih ditutup,” katanya kepada wartawan di Geneva, melalui sidang media dari Kaherah.Katanya, WFP menyasarkan untuk mencapai 1.6 juta penduduk di wilayah itu dengan pakej makanan yang dapat menampung keperluan satu keluarga selama 10 hari.”Namun, bagi memastikan operasi mencapai tahap yang diperlukan, kami benar-benar memerlukan lebih banyak akses, lebih banyak lintasan sempadan dibuka dan akses ke jalan-jalan utama dalam Gaza,” tegasnya.Gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan Hamas mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.Etefa menerangkan WFP sedang mempertingkatkan operasinya di Gaza, termasuk membuka 44 daripada 145 pusat pengagihan makanan yang disasarkan.Dianggarkan 700,000 penduduk kini menerima roti segar setiap hari, yang dibekalkan melalui 17 buah bakeri disokong WFP iaitu sembilan di selatan dan tengah Gaza, serta lapan di utara. Agensi itu menyasarkan 25 kedai roti beroperasi sepenuhnya.Etefa, berkata tahap penggunaan makanan meningkat berikutan kemasukan bantuan kemanusiaan dan lori komersial, namun ia jauh lebih rendah berbanding sebelum konflik.Pada peringkat ini, isi rumah masih bergantung kepada bijirin dan kekacang sebagai sumber makanan utama, manakala daging, telur, sayur-sayuran dan buah-buahan amat jarang diperoleh.Jurucakap WFP di Gaza, Nour Hammad, berkata harga makanan komersial masih terlalu tinggi untuk majoriti keluarga.Katanta, sebiji epal kini berharga hampir sama dengan sekilogram epal sebelum perang meletus pada Oktober 2023.WFP hanya mampu membawa masuk kira-kira separuh daripada jumlah bantuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan makanan penduduk Gaza.”Keperluan sangat mendesak. Kami sedang berlumba dengan masa untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.Beliau berkata, ketika ini lori WFP hanya dapat masuk melalui lintasan Kerem Shalom dan Kissufim, yang mengehadkan jumlah bantuan untuk dibawa masuk dan menyukarkan penyaluran ke kawasan utara.”Kami masih belum diberikan jawapan jelas mengapa lintasan utara masih ditutup,” katanya. – AFPbantuan kemanusian, Semenanjung Gaza, gencatan senjata, sempadan Rafah
PBB gesa semua pintu masuk ke Semenanjung Gaza dibuka

