KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal apabila nilai ringgit kian mengukuh hingga mencecah RM4.16 berbanding AS$1 hari ini, tiada satu pun suara penghargaan daripada pembangkang.
Anwar berkata, sebaliknya beliau hanya menerima kecaman daripada pembangkang apabila nilai ringgit menurun sebaik sahaja mengambil alih kerajaan pada 2022.
“Ringgit yang dulu kita diserang bertubi-tubi, ringgit jatuh…ringgit jatuh, sekarang bila ringgit mengukuh, tak sebut sepatah pun, ini masalahnya.
“Hari ini RM4.16 ketimbangkan AS$1, best performing currency in Asia. Ukurannya bukan ditentukan oleh kita, oleh penarafan kredit yang kekal positif, S&P Global Rating mengekalkan penarafan kredit negara masing-masing A- dan A3, maknanya tinjauan, stabil dan kukuh,” katanya pada sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimanakah kerajaan mengukur keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi MADANI selepas tempoh 18 hingga 24 bulan.
Perdana Menteri juga berkata, walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu, tambahan pula pengenaan tarif daripada Amerika Syarikat namun trend perdagangan Malaysia terus positif hingga 4.4 peratus.
“Pelaburan itu meningkat untuk rekod 2024 itu RM384.2 bilion, daya saing dunia untuk 2025 melonjak sehingga 11 anak tangga, pencapaian terbaik sejak 10 tahun.
“Trend perdagangan terus positif dan jumlah dagangan tahun ini Januari sehingga September 2025 meningkat hingga 4.4 peratus
“Ini dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu terutama akibat daripada pengenaan tarif oleh Presiden Donald Trump, tapi masih meningkat kepada RM2.24 trilion,” katanya.
Menurut Anwar, Kerajaan Madani boleh berbangga apabila program penyasaran subsidi berjaya dilaksanakan dengan penjimatan dana negara lebih RM15 bilion.
“Keputusan yang telah diuar-uarkan selama berpuluh tahun tetapi memerlukan tekad politik dan Alhamdulillah dapat dilaksanakan dengan penjimatan dana negara lebih RM15 bilion,” katanya.Selain itu, kata Perdana Menteri, ekonomi negara semakin kukuh dan berdaya tahan dengan mencatat pertumbuhan 4.4 peratus bagi separuh pertama 2025 dan 5.2 peratus bagi suku ketiga 2025.
“Pertumbuhan keseluruhan tahun ini berpotensi mencapai paras yang lebih tinggi daripada yang diunjurkan. Begitu juga saya jelaskan perkapita meningkat RM54,793 ketimbang lebih tinggi dari tahun sebelumnya. Ini angka dan data yang tidak boleh dimungkiri,” katanya.
Anwar juga menafikan dakwaan pembangkang kononnya defisit fiskal kian membengkak sejak Kerajaan Madani memerintah sedangkan ia kian menurun sebanyak 5.5 peratus.
“Pada 2023 turun lima peratus, 2024 turun lagi defisit fiskal dari segi dasar dan strategi kewangan dan fiskal sangat serius.
“Kalau dia terus membengkak, dia membebankan ekonomi dan tidak akan menarik pelaburan kerana tidak ada keyakinan kerana tidak ada disiplin dan tekad daripada pimpinan untuk mengurus kewangan, sebab itu dia turun.
“Pada 2025 kita menjangka akan mendapat menurunkan defisit kepada 3.8 peratus.
“Maknanya tak sampai tiga tahun, dia turun dari 5.5 peratus kepada 3.8 peratus dan bagi 2026 kita jangka kekal trend menurun dengan 3.5 peratus,” katanya.
Anwar turut mempertahankan prestasi barisan Kabinet yang berjaya menurunkan kadar hutang negara meskipun terus diserang pembangkang.
“Begitu juga hutang yang terus dipertikai, sebab itu saya katakan, soalan yang sama, jawapan yang sama, dia kata hutang kian membengkak, dia kira hutang lama dengan kadar faedah.
“Tapi kenyataan sebenar hutang baharu daripada kerajaan ini (Madani) menurun RM100 bilion pada 2022, kepada RM77 bilion.
“Walaupun masih berhutang sebab kita tidak mahu membebankan dari segi program infrastruktur asas, tebatan banjir termasuk di Kelantan dan Terengganu, kesihatan dan pendidikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

