KLUANG – Seorang ejen insuran maut tersepit selepas pacuan empat roda yang dipandu terlibat kemalangan dengan lori di Jalan Ayer Hitam di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penguasa Bomba Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.44 pagi.
Susulan itu seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah utiliti dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya sembilan kilometer.
“Kemalangan melibatkan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax dengan sebuah lori satu tan. Pemandu Isuzu Dmax, Mohamad Salrizal Rohani yang berusia 31 tahun tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan mangsa berasal dari Yap Tau Sah di sini dan ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kluang ke Batu Pahat.
Mohd Shamin berkata, pasukan bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya serahkan kepada pihak polis manakala seorang lagi lelaki dewasa yang berada dalam pacuan empat roda berkenaan terselamat.
Tambah beliau, operasi berkenaan tamat pukul 10.58 pagi.- MalaysiaGazette

