Sinner tutup tirai 2025 dengan cemerlang

TURIN: Jannik Sinner menutup musim 2025 dengan cemerlang selepas menewaskan Carlos Alcaraz untuk mengekalkan gelaran Pusingan Akhir ATP, awal pagi tadi.

Pemain Itali itu meraih kemenangan straight set 7-6 (7/4), 7-5 untuk menutup musim bersejarah yang menyaksikannya muncul selaku pemain Itali pertama memenangi Wimbledon.

“Musim yang menakjubkan… tahun ini mara ke empat final Grand Slam, datang ke sini, menang di sini dan menamatkan tahun dengan rentetan kemenangan yang besar, ia sangat menakjubkan,” kata Sinner.

“Apapun, saya merasakan sesuatu yang lebih baik berbanding tahun lalu, saya fikir itu yang paling utama. Ia semua satu proses.

“Saya sering percaya yang sekiranya kamu terus berusaha dan cuba menjadi lebih baik, hasilnya akan tiba juga nanti. Tahun ini, ia seperti itu.”

Sinner terbaring puas selepas mengesahkan kemenangannya di kejohanan penutup musim itu, di mana dia tidak pernah kalah sejak ditewaskan di final 2023 oleh Novak Djokovic.

Kemenangan itu menutup tahun penuh cabaran buat Sinner, yang terpaksa bangkit daripada penggantungan selama tiga bulan, satu tempoh yang menyingkatkan sebahagian besar musimnya walaupun Agensi Anti-Doping Dunia menerima pemain Itali itu secara tidak sengaja tercemar dengan bahan terlarang clostebol pada Mac 2024.

“Banyak yang bermain di fikiran saya, tapi pada masa sama saya cuba fokus. Ada banyak tekanan ketika saya hampir tewas, tapi selepas kemenangan ini, saya rasa lega,” tambah Sinner.

“Perasaan kali ini lebih kuat dan lebih emosi berbanding tahun lalu.”

Ini adalah kemenangan kedua Sinner ke atas Alcaraz pada tahun ini dan satu detik penting selepas kehilangan tempat nombor satu dunia kepada pemain Sepanyol itu.