,

Tukang masak mati ditikam dipercayai akibat makanan tak sedap

SEBERANG PERAI – Pertengkaran antara seorang tukang masak warga Myanmar dengan pelanggannya selepas makanan yang dihidangkan didakwa tidak sedap berakhir dengan tragedi apabila wanita berkenaan maut ditikam di sebuah restoran masakan ala Thai di Lorong Bukit Juru, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa berusia lingkungan 40-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Manakala suaminya, yang juga warga Myanmar berusia lewat 40-an cedera pada anggota badan, sementara seorang lagi lelaki yang merupakan rakan suspek turut mengalami kecederaan akibat ditikam dalam kejadian sama.

MalaysiaGazette difahamkan, terdahulu, suspek warga Myanmar bersama beberapa rakannya datang makan di restoran berkenaan sekitar jam 8.30 malam dipercayai dalam keadaan mabuk sebelum tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan.

Kesemua lelaki terbabit bertengkar dengan mangsa dan suaminya sebelum wanita itu menghalau mereka dari lokasi.

Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka berusia lingkungan 30-an itu dikatakan memanggil abangnya sebelum kembali semula ke restoran tersebut dan menikam mangsa sehingga maut menggunakan sebilah pisau.

Susulan itu, tindakan pantas polis berjaya mengesan dan menahan tiga suspek termasuk dua beradik berhampiran lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat manakala dua lagi mangsa cedera turut dirawat di hospital sama.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian.

“Setakat ini, tiga suspek ditahan serta mereka disyaki mabuk dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette