KUALA LUMPUR: Insiden kecurian kabel di sepanjang rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyebabkan kelewatan masa operasi keseluruhan selama 562 jam bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) pada tahun ini, manakala 741 jam bagi perkhidmatan KTM Komuter.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kecurian kabel memberi impak kepada gangguan sistem persemboyanan KTMB yang mengawal pergerakan tren, seterusnya membawa kesan kelewatan operasi dan kerugian masa kepada penumpang.
Bagaimanapun, katanya, insiden itu tidak menyebabkan kelewatan bagi perkhidmatan antara bandar.
Loke memaklumkan, dari Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 104 kes kecurian kabel dilaporkan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kuala Lumpur, manakala tiada kes direkodkan bagi Perlis, Melaka, Johor dan Kelantan.
Sepanjang tahun lalu, sebanyak 150 kes kecurian kabel dilaporkan.
“KTMB mengambil tindakan segera bagi menangani isu insiden kecurian kabel ini, termasuk mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi penguatkuasaan, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Antara tindakan berkenaan adalah operasi khas dan rondaan 24 jam oleh anggota Polis Bantuan KTMB di kawasan hotspot, terutama di sekitar Lembah Klang. Usaha akan diteruskan dengan memperkukuh rondaan bersama PDRM.
“Selain itu, risikan dan intipan di lokasi berisiko tinggi, termasuk usaha membanteras sindiket pasaran gelap logam bersama PDRM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai jumlah insiden kecurian kabel mengikut negeri yang membabitkan perkhidmatan KTM, impaknya dalam jumlah kerugian masa oleh pengguna dan tindakan yang diambil untuk menangani masalah itu.
Loke memaklumkan, pemasangan 193 penutup manhole kabel yang disimen turut dilakukan di sektor utara dan pembaikan pagar yang bocor, selain cadangan pemasangan kamera kamera litar tertutup (CCTV) dan penggunaan dron di lokasi hotspot.
Pada sama sama, melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pesalah yang mencuri kabel oleh APAD dan PDRM mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia.
“Kerjasama dan penyaluran maklumat turut dilakukan kepada agensi penguatkuasa, seperti PDRM dan AADK serta mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Komuniti Setempat bagi membanteras sarang penagih dadah yang berada berhampiran dengan landasan keretapi, yang mana penagih ini disyaki melakukan aktiviti mencuri kabel dan peralatan lain milik KTMB,” katanya.

