Pemandu maut lori masuk gaung, terbakar

KOTA TINGGI – Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan tragis di Kilometer 26, Jalan Lok Heng-Mawai di sini hari ini.

Kemalangan tersebut mengorbankan R. Sasitharan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden berkenaan pada pukul 4.35 petang.

“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori jenis Volvo yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung dan terbakar.

“Mangsa yang memandu lori berkenaan mengalami kecederaan parah akibat kebakaran melibatkan keseluruhan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Kata Yusof, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses siasatan lanjut.

Beliau memberitahu, pihak polis mengesahkan tiada kenderaan lain yang terlibat dalam nahas tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang lima tahun, katanya. – MalaysiaGazette