NEW YORK: Sebuah lukisan potret diri oleh artis Mexico, Frida Kahlo, menjadi karya seni paling bernilai oleh seorang artis wanita yang pernah dijual di lelongan pada harga AS$54.7 juta.
“El sueño (La cama)” atau “Mimpi (Katil)” meraih nilai berkenaan oleh firma lelong Sotheby’s di sini, mengatasi rekod terdahulu yang dipegang oleh mendiang artis Amerika, Georgia O’Keeffe.
Karyanya “Jimson Weed/White Flower No.1”, yang pernah digantung di Rumah Putih, dijual pada harga AS$44.4 juta pada 2014.

Potret diri surrealist Kahlo, yang dijual oleh seorang pengumpul persendirian, dianggarkan bernilai antara AS$40 juta hingga AS$60 juta.
Satu lagi potret diri Kahlo, “Diego y yo” (Diego dan Aku), pernah memegang gelaran karya kedua termahal oleh artis wanita selepas turut dilelong oleh Sotheby’s New York pada 2021.
Ketika dijual, karya itu menjadi karya seni Amerika Latin paling mahal dalam sejarah.
Kini, ia telah diatasi oleh jualan terbaharu “El sueño (La cama)” dan jatuh ke tempat kedua—serta tempat ketiga bagi kategori karya seni paling bernilai oleh artis wanita.
Sebelum dilelong, lukisan yang tidak dipamerkan kepada umum selama hampir tiga dekad itu telah dipertontonkan di London, Abu Dhabi, Hong Kong, Paris dan New York.
Karya berkenaan menggambarkan Kahlo berbaring di atas katil yang terapung dengan latar langit biru pucat.
Sulur-sulur hijau melilit tubuhnya, sementara rangka manusia yang dipasang bahan letupan dan memegang sejambak bunga kering berada di atasnya.
Motif katil sering muncul dalam karya Kahlo.
Beliau terpaksa terlantar lama di atas katil akibat kesakitan kronik selepas nahas bas yang hampir meragut nyawanya dan beberapa pembedahan seterusnya.
Semasa tempoh pemulihan panjang itulah keluarganya memasang kaki kanvas dan cermin khas pada kanopi katil agar beliau boleh terus melukis dalam keadaan berbaring.
“Saya belum mati dan saya ada sebab untuk hidup. Sebab itu adalah melukis,” tulisnya ketika itu.
Lukisan ini dihasilkan pada 1940, iaitu tempoh yang penuh pergolakan dalam hidup Kahlo.
Ia tahun di mana beliau berkahwin semula dengan Diego Rivera selepas bercerai setahun sebelumnya, dan juga tahun bekas kekasihnya, seorang revolusioner Russia, Leon Trotsky, dibunuh.
Lukisan tersebut merupakan sebahagian daripada koleksi peribadi bertajuk “Exquisite Corpus”, yang menampilkan lebih 80 karya surrealist termasuk lukisan, lakaran dan arca oleh René Magritte dan Salvador Dalí. – Agensi

