LONDON: Persiapan Arsenal menjelang aksi musuh tetangga di laman sendiri menentang Tottenham Hotspur, Ahad ini dihimpit tanda tanya mengenai kecederaan paha yang dijangka menyingkirkan pertahanan tengah utama mereka, Gabriel Magalhaes.
Gabriel menjadi tonggak benteng Mikel Arteta sepanjang musim ini tetapi terpaksa keluar padang ketika aksi persahabatan Brazil menentang Senegal minggu lalu dan ketiadaannya akan menyaksikan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tanpa penggerak paling dominan dalam perebutan bola di udara.
Arsenal kembali daripada rehat antarabangsa dengan kelebihan empat mata di depan pencabar terdekat, Manchester City namun skuad Arteta tercicir mata ketika seri 2-2 di Sunderland sebelum ini.
Mereka hanya bolos lima gol dalam liga musim ini tetapi kecederaan Gabriel, dengan beberapa laporan media menyatakan dia mungkin terpaksa diketepikan hingga Januari, ditambah keraguan tahap kecergasan Martin Odegaard dan Gabriel Martinelli, berpotensi menguji kekuatan semasa pasukan dalam aksi yang sentiasa sarat intensiti.
“Gabriel seorang pemain pertahanan bertaraf dunia dan saya tidak kisah siapa yang masuk menggantikannya, ia tetap sukar,” kata legenda England, Alan Shearer kepada Betfair.com.
“Secara defensif dia sangat kukuh dan memainkan peranan besar dalam apa yang Arsenal capai. Dari situasi bola mati juga, dia komponen penting sama ada untuk menjaringkan gol atau menyukarkan pertahanan lawan.
“Walaupun Arsenal ada pengganti, mereka sebenarnya kehilangan mungkin pertahanan tengah terbaik dalam Liga Perdana.”
Arsenal dijangka mengisi kekosongan itu dengan tonggak Ecuador, Piero Hincapie atau pemain Sepanyol, Cristhian Mosquera manakala Riccardo Calafiori, jika cergas, boleh beralih daripada posisi pertahanan kiri ke tengah.
Tottenham pula tampil lebih ampuh di bawah pengurus baharu, Thomas Frank dengan rekod tempat lawan terbaik dalam liga.
Spurs menghuni tangga kelima dan sudah membuktikan kemampuan mengugat mana-mana pasukan di gelanggang lawan, termasuk mengalahkan Manchester City musim ini.
Bagaimanapun, kecederaan jangka panjang James Maddison, Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke menjejaskan sengat serangan mereka, menyebabkan pemain sayap Mohammed Kudus yang turut dijangka kembali memikul beban kreatif musim ini.
Arsenal mendominasi pertemuan mutakhir, tidak tewas dalam enam aksi terakhir, namun gaya tekanan tinggi Spurs menjadikan mereka lawan yang sukar diramal.
Kemenangan buat pelawat mampu merapatkan saingan kejuaraan dan menyuntik drama baharu dalam perebutan kelompok empat teratas. – REUTERS

