Majlis Perbandaran Sepang sita 14 lori projek pembinaan

SEPANG: Sikap sambil lewa serta kegagalan mematuhi peraturan membawa padah kepada pengusaha sebuah tapak projek pembinaan di Taman Mas, Puchong apabila 14 lori milik mereka disita pihak berkuasa kerana beroperasi tanpa permit sah.

Sitaan dilakukan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) selepas pemeriksaan mendapati kenderaan berat yang digunakan untuk projek pembinaan di kawasan itu tidak memiliki permit laluan seperti diwajibkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Yang Dipertua MP Sepang, Dr Ani Ahmad, berkata operasi penguatkuasaan menumpukan pergerakan lori bermuatan berat di sekitar Jalan Dagang Mas susulan banyak aduan daripada penduduk.

Beliau berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan Unit Khas Jabatan Penguatkuasaan MP Sepang bersama Jabatan Kejuruteraan, Unit Aduan, Unit Kawalan Sampah serta Unit Tunda Bandar Baru Salak Tinggi (BBST).

“Operasi ini dijalankan selepas aduan dan pemantauan mendapati lori tapak projek kerap melalui kawasan itu tanpa permit sah,” katanya.

Menurutnya, tindakan tidak mematuhi syarat itu boleh menyebabkan kerosakan jalan, pencemaran bunyi dan habuk sekali gus menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.

“Penduduk beberapa kawasan membuat aduan dan meminta tindakan segera bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Jelasnya, tindakan diambil mengikut Seksyen 70A(9) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana kegagalan mematuhi syarat kelulusan termasuk menyebabkan jalan menjadi kotor.

Ani turut mengingatkan semua kontraktor serta pengendali lori supaya memastikan permit laluan diperoleh sebelum melakukan sebarang penghantaran atau pergerakan lori di tapak projek.

“MP Sepang akan terus menjalankan pemantauan rapi dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan peraturan demi keselamatan awam,” katanya.