LAGOS: Sekurang-kurangnya 315 pelajar dan guru diculik dalam insiden culik besar-besaran di beberapa sekolah di Nigeria, menurut Persatuan Kristian Nigeria.
Kejadian itu berlaku selepas sebuah kumpulan bersenjata menyerbu sebuah sekolah menengah di negeri Kebbi dan menculik 25 pelajar perempuan Isnin lalu.
Menurut persatuan berkenaan, jumlah terbaru itu diperoleh selepas proses pengesahan susulan insiden culik pada Jumaat lalu di Sekolah St Mary di negeri Niger.
Jumlah pelajar yang diculik hampir separuh daripada keseluruhan 629 pelajar berdaftar di sekolah berkenaan.
Pihak berkuasa di negeri berdekatan Katsina dan Plateau sudah mengarahkan semua sekolah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
Kerajaan negeri Niger turut menutup banyak sekolah, manakala Presiden Niger, Bola Tinubu membatalkan beberapa program antarabangsa termasuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg bagi menangani krisis itu.
Kedua-dua insiden culik berkenaan serta satu serangan terhadap gereja di bahagian barat negara, yang mengorbankan dua nyawa, berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengancam tindakan ketenteraan susulan apa yang beliau sifatkan sebagai pembunuhan penganut Kristian oleh golongan Islamis radikal di Nigeria.
Nigeria masih dilanda krisis selepas hampir 300 gadis diculik oleh militan Boko Haram di Chibok, negeri Borno, lebih sedekad lalu. Beberapa mangsa masih gagal dikesan sehingga kini. – AFP

