BAYAN LEPAS: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan Notis Larangan di sebuah tapak pembinaan susulan kemalangan maut membabitkan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh pada 15 November lalu.
Semua kerja pembinaan di seluruh tapak turut diarahkan dihentikan hingga siasatan selesai dan risiko objek jatuh dapat dikawal sepenuhnya.
JKKP dalam kenyataannya berkata, dalam kejadian jam 11.40 pagi, mangsa yang juga pekerja sub-kontraktor di tapak pembinaan berkenaan terkena kepingan struktur acuan (formwork) yang dipercayai jatuh dari aras lapan bangunan terbabit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah di kepala. Susulan itu siasatan lanjut sedang dijalankan di lokasi kejadian dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang oleh pihak yang terbabit.
“JKKP memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja yang membabitkan kehilangan nyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

