KUALA LUMPUR – Situasi banjir di beberapa buah negeri terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 11,518 mangsa daripada 4,056 keluarga telah dipindahkan ke 63 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang sedang aktif setakat jam 12 tengah hari ini.
Laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan, kawasan terjejas melibatkan tujuh negeri iaitu Kelantan, Perlis, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Selangor, dengan tiada kematian direkodkan setakat ini.
Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,259 orang daripada 3,029 keluarga yang ditempatkan di 33 PPS melibatkan empat daerah utama iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, sekali gus menunjukkan trend peningkatan yang ketara.
Perlis pula merekodkan seramai 1,121 mangsa daripada 358 keluarga di tujuh PPS, manakala Perak menempatkan 1,087 mangsa daripada 366 keluarga di 13 PPS yang melibatkan daerah Manjung, Perak Tengah serta Larut, Matang dan Selama.
Di Kedah, seramai 371 mangsa daripada 110 keluarga ditempatkan di tiga PPS di daerah Kulim dengan trend dilaporkan menurun, sementara Pulau Pinang merekodkan 322 mangsa daripada 78 keluarga di empat PPS di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
Manakala di Terengganu pula melibatkan 285 mangsa daripada 94 keluarga di satu PPS di daerah Besut, manakala Selangor mencatatkan 73 mangsa daripada 21 keluarga di dua PPS di Sabak Bernam, dengan kedua-dua negeri menunjukkan trend menurun dan meningkat secara berperingkat.
Trend bilangan mangsa menunjukkan lonjakan mendadak sejak 22 November apabila jumlah meningkat daripada 862 orang kepada 8,895 pada 23 November sebelum mencecah 11,518 orang pada tengah hari tadi, menggambarkan situasi banjir yang semakin serius dan memerlukan pemantauan rapi.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pemindahan serta mengikuti perkembangan terkini daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan terus terjamin. – MalaysiaGazette

