Tentera Israel pecat beberapa jeneral atas serangan 7 Oktober

BAITULMAQDIS: Tentera Israel mengumumkan pemecatan tiga jeneral dan tindakan tatatertib terhadap beberapa pegawai kanan lain berhubung kegagalan mereka menghalang serangan Hamas pada Oktober 2023, serangan paling dahsyat dalam sejarahnya.

Senarai jeneral yang dipecat itu termasuk tiga komander divisyen, termasuk seorang yang ketika itu berkhidmat sebagai ketua perisikan tentera.

Langkah itu dibuat dua minggu selepas ketua tentera, Eyal Zamir, menggesa satu siasatan sistemik terhadap kegagalan yang membawa kepada serangan, walaupun kerajaan masih berlengah menubuhkan suruhanjaya siasatan negara biarpun didesak orang ramai.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, tentera berkata ketiga-tiga mereka memikul tanggungjawab peribadi atas kegagalan angkatan itu menghalang serangan yang dilancarkan Hamas dari Semenanjung Gaza.

Pemecatan itu dibuat selepas ketiga-tiganya sebelum ini sudah pun melepaskan jawatan.

Tindakan tatatertib turut dikenakan terhadap ketua tentera laut dan udara, selain langkah diambil terhadap empat lagi jeneral serta beberapa pegawai kanan lain.

Awal bulan ini, satu laporan oleh sebuah jawatankuasa pakar yang dilantik ketua tentera, Zamir, diterbitkan sebagai penutup kepada siasatan dalaman tentera terhadap serangan 7 Oktober itu.

Laporan itu merumuskan bahawa wujud ‘kegagalan sistemik dan pertubuhan jangka panjang’ dalam struktur ketenteraan.

Siasatan itu turut menyatakan berlakunya ‘kegagalan perisikan’ berhubung ‘ketidakmampuan mengeluarkan amaran’ mengenai serangan itu walaupun tentera memiliki ‘maklumat luar biasa yang berkualiti tinggi’.

Ia turut mengecam proses membuat keputusan serta penyelarasan pasukan yang lemah pada malam 7 Oktober 2023 dan menegaskan kegagalan berlaku di semua peringkat dalam hierarki tentera. – AFP