Guardiola akui penggiliran pemain gagal di Etihad

MANCHESTER, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memikul tanggungjawab penuh atas kekalahan mengejut 0-2 kepada Bayer Leverkusen pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi, mengakui penggiliran hampir semua kesebelasan utama adalah langkah yang terlalu berisiko.

Beliau membuat 10 perubahan daripada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu, yang menyaksikan City tewas 1-2 kepada Newcastle United, termasuk mengetepikan penyerang utama Erling Haaland, yang menjaringkan 14 gol liga musim ini.

“Rombakan terlalu besar,” kata Guardiola sebaik tamat perlawanan.

“Saya percaya musim yang panjang, perlawanan setiap dua hingga tiga hari, semua pemain perlu terbabit. Tetapi mungkin ia terlalu banyak, melihat keputusan perlawanan. Ini kali pertama saya lakukannya dan ia memang terlalu banyak. Saya sedar akan kesilapan itu.”

Beliau menjelaskan penggiliran itu dibuat bagi memberi kelonggaran kepada jadual padat termasuk tugasan antarabangsa, terutama kepada Haaland, yang memikul tanggungjawab menjaringkan gol untuk City dan Norway.

“Saya rasa, daripada naluri dan pemerhatian saya, pasukan sedang berada dalam prestasi baik, semangat pun baik. Jadi saya fikir, kami bersedia untuk Liga Juara-Juara di laman sendiri,” jelas Guardiola.

“Bagi perlawanan seterusnya ada Fulham, Sunderland, Real Madrid banyak perlawanan berturut-turut. Tidak ada sesiapa yang boleh bermain 95 minit setiap perlawanan sepanjang masa.”

Guardiola berkata pemain yang diturunkan awal pagi tadi kelihatan tertekan.

“Mereka bermain untuk tidak membuat kesilapan dan mengelak pasukan dihukum,” katanya.

“Mereka tidak bebas dan tidak tenang.”

Kekalahan itu turut menamatkan rekod tanpa kalah City di Etihad sepanjang 23 perlawanan Liga Juara-Juara peringkat kumpulan atau liga, serta meninggalkan mereka di tangga keenam dengan 10 mata daripada lima perlawanan.

Lapan pasukan teratas selepas lapan perlawanan peringkat kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir.

Perlawanan Liga Juara-Juara seterusnya untuk City adalah menentang kelab gergasi Eropah, Real Madrid pada 10 Disember.

Guardiola tidak kelihatan bimbang mengenai peluang berada dalam kelompok lapan teratas.

“Kami ada masa untuk bersedia menghadapi Madrid,” katanya. – REUTERS