SAN FRANCISCO: Gergasi pengeluar komputer dan pencetak, HP semalam mengumumkan rancangan penyusunan semula besar-besaran yang akan mengurangkan kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya di seluruh dunia.
Tindakan itu susulan syarikat berkenaan yang mula beralih kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan.
Menurut laporan pendapatan terbarunya, gergasi teknologi itu menjangka mengurangkan jumlah pekerja global antara 4,000 hingga 6,000 orang bagi memberi tumpuan kepada penggunaan AI untuk meningkatkan inovasi dan kepuasan pelanggan.
Langkah HP itu mencerminkan trend lebih meluas dalam sektor teknologi, yang mana syarikat giat melabur dalam pembangunan AI disamping menggunakan teknologi berkenaan untuk mengurangkan kos operasi.
Syarikat teknologi utama termasuk Google, Microsoft dan Amazon mengumumkan pengurangan tenaga kerja dalam tempoh dua tahun lalu, dengan banyak yang menyatakan keperluan mengagihkan semula sumber, termasuk pekerjaan, ke arah inisiatif AI.
Penganalisis industri berkata automasi AI memberi kesan ketara terhadap peranan dalam sokongan pelanggan, penyederhanaan kandungan, kemasukan data serta beberapa tugas pengaturcaraan komputer.
HP berkata, pelan AI itu menyasarkan penjimatan sekitar AS$1 bilion (RM4.12 bilion) setahun menjelang akhir tahun fiskal 2028.
Syarikat itu turut berusaha mengubah model perniagaannya di tengah-tengah perubahan corak permintaan dalam pasaran komputer peribadi (PC) dan percetakan.
Ketua Pegawai Eksekutif HP, Enrique Lores, memberitahu Wall Street Journal, syarikat berkenaan merancang menaikkan harga komputer keluarannya dan bekerjasama dengan pembekal baharu bagi menampung kos lebih tinggi untuk pengkomputeran AI.
Dalam suku terbaharu, HP merekodkan keuntungan AS$795 juta (RM3.2 bilion) berbanding AS$906 juta (RM3.73 bilion) pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan meningkat 4.2 peratus kepada AS$14.64 bilion (RM60.4 bilion), mengatasi anggaran penganalisis dengan jualan PC mengimbangi penurunan jualan pencetak. – AFP

