‘Janganlah saya pergi dahulu sebelum Amni’

TUMPAT: Dalam usia yang semakin senja, Che Idris Che Deraman tidak pernah lelah menguruskan anak bongsunya, Amni Nazirah yang sejak kecil menghidap hidrosefalus iaitu lebihan cecair dalam kepala.

Tanggungjawab yang dilakukan Che Idris, 75, dengan penuh kasih sayang terhadap Amni Nazirah, 20, diteruskan selepas kematian isteri pada 2013 akibat kencing manis kronik.

Che Idris berkata, ketika isterinya, Saniah Taib, 53, masih ada, tugasan menguruskan anak bongsu daripada 10 beradik itu sudah digalas memandangkan keadaan isteri semakin lemah manakala anak yang lain sudah berumahtangga serta menetap di tempat lain.

“Boleh dikatakan sudah 15 tahun saya menguruskan Amni yang seakan bayi kerana tidak mampu berjalan, bercakap apatah lagi menguruskan diri sendiri.

“Makan minum Amni perlu disuap dan makanannya hanya yang berstruktur lembut sahaja seperti bubur nasi dan roti yang dicicah air manakala minumnya pula menggunakan botol susu,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Renjuna, di sini.

Terdahulu mereka menerima kunjungan rombongan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dan Puspanita Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan yang hadir menyampaikan bakul makanan serta wang tunai.

Che Idris berkata, walaupun tidak dapat bergerak, penjagaannya terhadap Amni dilakukan sebaik mungkin malah anak istimewa itu akan dimandikan dua kali sehari dan bukan sekadar mengelap tubuh sahaja.

Dengan kudrat yang tidak seberapa, warga emas itu sedaya upaya mengangkat Amni Nazirah ke bilik mandi yang dibina di sebelah bilik dan kadangkala dibantu seorang lagi anak yang tinggal bersama.

“Walau keadaan Amni sebegini, saya akan pastikan dia sentiasa dalam keadaan bersih dan tidak hanya terlantar di tilam sahaja,” katanya sambil memberitahu mereka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 setiap bulan.

Mengenangkan keadaan anaknya yang sebegitu, selalu datang sebak dalam diri Che Idris kerana memikirkan sampai bila dia diberi peluang untuk bersama Amni Nazirah.

Che Idris berkata, dia sentiasa berdoa semoga dipanjangkan umur untuk terus menjaga Amni Nazirah dan tidak dapat dibayangkan jika Allah menjemputnya pergi dahulu sebelum anak istimewanya itu.

“Selalu juga perkara itu bermain dalam fikiran tapi saya sentiasa berdoa agar terus diberi kesihatan yang baik dan umur panjang tapi kalau boleh, janganlah saya pergi dahulu sebelum dia (Amni Nazirah),” katanya.