Rezeki redah banjir, Zuhairi bawa pulang RM20,000

SUNGAI PETANI: Banjir yang melanda Kelantan tidak menghalang Mohd Zuhairi Jali menempuh perjalanan lebih enam jam sejauh kira-kira 350 kilometer ke Tanjung Dawai, dekat sini untuk menyertai pertandingan Kedah Surfcasting Challenge 2025, di sini semalam.

Kecekalan meredah bah membawa rezeki buatnya apabila berjaya menjinakkan ikan pari seberat 1.815 kilogram (kg) pada pertandingan memancing itu, sekali gus ditabalkan juara menewaskan hampir 600 peserta lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Tempat kedua disandang Mohd Haziq Mohd Jamal, 35, dari Bidong, dekat sini, yang menaikkan ikan malong 1.235kg, manakala Syed Mohd Hassan Syed Ismail dari Jitra menduduki tepat ketiga dengan ikan belukang 0.950kg. Mohd Haziq dan Syed Mohd Hassan, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,000.

Hadiah disampaikan EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin. Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan Kuala Muda, Mohd Rinizan Razali; Pengurus Shimano (Pte Ltd) Singapura, Kelvin Yiu dan Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.

Sebahagian daripada hampir 600 peserta Kedah Surfcasting Challenge 2025 di Tanjung Dawai, Sungai Petani, semalam.
Sebahagian daripada hampir 600 peserta Kedah Surfcasting Challenge 2025 di Tanjung Dawai, Sungai Petani, semalam.

Ketika ditemui, Mohd Zuhairi, 35, berkata beliau bersyukur kesukaran menempuh perjalanan jauh dari Kota Bharu ke Tanjung Dawai dibalas dengan kemenangan.

“Tanpa tiga rakan yang sama-sama mempunyai minat mendalam dalam acara surfcasting, saya tidak mungkin sampai ke sini,” katanya yang memandu kenderaan pacuan empat roda untuk perjalanan dari Kelantan ke sini.

Sementara itu, Mohd Salleh dalam ucapan merasmikan program, berkata acara surfcasting akan diteruskan di Kedah pada tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, namun lokasi pertandingan mungkin berubah.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan negeri akan meneruskan acara ini. Bagaimanapun, kalau tahun ini ia diadakan di Tanjung Dawai, tahun hadapan acara ini akan diadakan di Pantai Padang Garam di Alor Star,” katanya.

Pengumuman itu mendapat sambutan peserta yang memberi tepukan sebagai tanda sokongan kerana Pantai Padang Garam yang dipercayai kaya dengan spesis belukang dan baru dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan memang menjadi topik perbincangan dalam kalangan penggemar surfcasting serta belum pernah dijadikan lokasi acara berkenaan.

“Kita akan menganjurkan acara ini pada skala yang lebih besar supaya lebih ramai penggemar surfcasting dari luar Kedah dapat turut hadir, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan di negeri ini. Tahun Melawat Kedah juga akan diteruskan tahun depan seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.