SUNGAI PETANI: Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung insiden buli di sebuah sekolah menengah berasrama di daerah ini dan sedang menunggu arahan lanjut Jabatan Peguam Negara.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata pelajar lelaki 16 tahun yang direman untuk membantu siasatan dibebaskan dengan jaminan polis secara lisan selepas tempoh itu tamat.
“Kami sudah melengkapkan siasatan dari semua aspek termasuk keterangan mangsa, saksi dan suspek. Kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 24 November lalu, seorang pelajar 16 tahun mendakwa dipukul sekumpulan pelajar di asrama sekolah sehingga perlu dirawat akibat lebam pada bahagian perut.
Susulan itu, polis menahan empat pelajar pada 27 November dengan seorang daripadanya direman tiga hari.
Kejadian dipercayai berlaku kerana rasa tidak puas hati selepas mangsa didakwa bercakap buruk mengenai seorang suspek.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan Seksyen 507 kanun sama, iaitu melakukan ugutan jenayah.

