WASHINGTON: Presiden Donald Trump memaklumkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza sudah pun beroperasi dan akan menerima penyertaan lebih banyak negara.
Bercakap di Pejabat Oval semalam, Trump berkata, pasukan yang dibentuk bagi mengembalikan keamanan di Gaza itu sudah pun berfungsi.
“Semakin banyak negara akan menyertainya. Mereka sudah terbabit, tetapi akan menghantar sejumlah anggota tentera yang diminta,” katanya.
Beliau berkata, pentadbirannya juga sedang meneliti sama ada Israel melanggar gencatan senjata di Gaza dengan membunuh seorang pemimpin Hamas, pada Sabtu lalu.
Baru-baru ini, Malaysia dilapor akan memberi pertimbangan sewajarnya jika ditawarkan untuk menyertai ISF di Gaza.
ISF bukan berfungsi sebagai misi pengaman tradisional di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebaliknya pasukan penstabilan dengan mandat operasi berbeza.
Pada November lalu, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) meluluskan cadangan penubuhan ISF bagi membantu memulihkan keselamatan dan kestabilan di Gaza pascakonflik.
Ia selepas AS memulakan rundingan rasmi dengan 15 anggota UNSC bagi merangka teks resolusi susulan gencatan senjata dalam perang dua tahun antara Israel dan Palestin, sekali gus mengesahkan pelan damai Trump.
Draf berkenaan mengusulkan penubuhan Lembaga Keamanan, iaitu badan pentadbiran peralihan untuk Gaza yang secara teori dipengerusikan Trump dengan mandat sehingga 2027.
Ia turut memberi kuasa kepada negara anggota menubuhkan ISF sementara, akan bekerjasama dengan Israel, Mesir dan pasukan polis Palestin yang dilatih semula bagi memastikan keselamatan sempadan serta proses melucutkan senjata di Gaza.
Berbanding draf terdahulu, versi terbaru turut menyebut kemungkinan pembentukan negara Palestin pada masa depan. – REUTERS

