SHAH ALAM: Tikus dan lipas berkeliaran di kawasan penyediaan makanan menyebabkan dua premis di Jalan Telipot dan Jalan Seroja, Bukit Sentosa, Hulu Selangor diarah tutup selama 14 hari.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata, penutupan itu dibuat selepas pemeriksaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam (JPSPPA).
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai ketidakpatuhan kritikal termasuk premis beroperasi tanpa lesen, najis tikus dan lipas, pengendali makanan tanpa suntikan antitifoid dan kursus pengendalian makanan.
“Selain itu peti sejuk tanpa kawalan suhu, peralatan memasak dan tandas yang tidak bersih, lantai dapur licin dan menakung air, perangkap sisa tidak disenggara sehingga sisa mengalir ke longkang awam, serta amalan berisiko pencemaran silang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
MPHS berkata, pihaknya mengambil tindakan dengan mengeluarkan 19 kompaun mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan 2007 dan UUK Pengendali Makanan 2007.

