‘Aceh jadi lautan, kami terkepung’ – Penduduk

ACEH – “Rumah saya roboh akibat banjir. Air banjir berwarna coklat pekat dan berlumpur naik melepasi bumbung dengan sisa-sisa kayu serta kayu balak hanyut sehingga meruntuhkan rumah saya dan juga beberapa rumah penduduk lain.

“Dalam sekelip mata keluarga kami sekeluarga hilang tempat tinggal, penduduk terpaksa lari ke pasentren berdekatan yang mempunyai bangunan beberapa tingkat bagi menyelamatkan diri,” kata Mohd Jufri M Jamil, 45, ketika ditemui semalam yang menceritakan banjir besar yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Menanggini, Karang Baru, Aceh Tamiang pada 26 November lalu.

Mohd Jufri ditemui pemberita dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 anjuran MyCare dan Pasaraya Econsave yang memberikan bantuan rakyat Malaysia kepada mangsa banjir di wilayah Aceh.

Bapa kepada empat anak berusia setahun hingga 10 tahun itu berkata, mereka menumpang di tingkat atas pasentren (premis pendidikan agama) berkenaan selama beberapa hari dalam keadaan tiada bekalan makanan.

“Bekalan elektrik di kawasan ini juga sudah terputus malah jalan untuk keluar sudah tenggelam sepenuhnya. Apa yang kami dapat lihat dari atas pesanteren hanyalah kampung ini sudah menjadi lautan. Begitu juga kawasan berdekatan lain tenggelam.

“Tiada rumah yang kelihatan kerana semuanya sudah tenggelam. Kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang rumah atau dokumen penting,” ujarnya yang bekerja swasta dan masih trauma dengan banjir tersebut.

Dia berkata, selepas seminggu banjir surut dan mereka pulang ke rumah namun luluh hati apabila melihat tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk haiwan ternakan hilang entah ke mana hanyut dibawa arus.

Semua mangsa banjir yang kelaparan katanya, mengisi perut dengan apa sahaja yang boleh dimakan, minum air berlumpur untuk kelangsungan hidup dalam keadaan jalan terputus hubungan dan mengharapkan bantuan segera datang.

Tambahnya, kehidupan mereka amat sengsara, bingung, seperti hilang arah tuju dan tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana timbunan kayu balak sangat banyak masih banyak termasuk masuk ke rumah penduduk yang tidak roboh.

Pada ketika ini, penduduk yang kehilangan rumah tinggal dalam khemah sementara yang disediakan pihak kerajaan.

“Apa yang diperlukan ketika ini adalah selimut selain peralatan seperti cangkul dan skop membersihkan sisa banjir seperti lumpur tebal dan tanah.

“Bekalan air bersih dan bahan makanan sudah ada disumbangkan pihak yang bermurah hati,” ujarnya dan mendakwa kira-kira 200 penduduk di kampung itu terkesan akibat banjir tersebut.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare atau Humanitarian Care Malaysia Berhad menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette