KUALA LUMPUR – Sebanyak 8,484 kes penipuan melibatkan tawaran pekerjaan sambilan berlaku bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Disember.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan 5,033 atau 146 peratus kes berbanding tahun lalu.
Selain itu, sebanyak RM202.58 juta kerugian diakibatkan daripada penipuan berkenaan sepanjang tahun ini.
Jelasnya, trend peningkatan berkenaan menunjukkan jenayah penipuan tersebut semakin berleluasa malah lebih buruk memberi implikasi kewangan yang besar kepada mangsa.
“Berbanding RM118.83 juta pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan RM83.75 juta atau kira-kira 70 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau sindiket penipuan tawaran kerja sambilan menerusi media sosial dan aplikasi pesanan segera ini menawarkan pulangan gaji tinggi dalam tempoh yang singkat.
Mangsa diperdayakan apabila diminta membuat bayaran pendahuluan atau pemindahan wang ke akaun keldai, katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa tiada majikan yang sah akan meminta bayaran pendahuluan bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali serta membuat laporan polis sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan,” tambahnya.
Sementara itu, Rusdi memberi jaminan JSJK akan mempergiatkan usaha pencegahan, siasatan dan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah berkenaan. – MalaysiaGazette

