Kerajaan Indonesia ikrar teruskan bantuan ketika protes bendera putih di Aceh

JAKARTA: Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian, menegaskan semula komitmen kerajaan untuk mengekalkan langkah kecemasan di kawasan terjejas bencana, susulan laporan penduduk Aceh mengibarkan bendera putih bagi menarik perhatian terhadap penderitaan mereka.

“Kerajaan mendengar dan memahami kritikan, cadangan serta pandangan yang disuarakan oleh rakyat,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta semalam.

Bendera putih secara meluas diiktiraf dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa sebagai simbol gencatan senjata, biasanya digunakan dalam situasi konflik untuk menandakan penyerahan diri atau hasrat untuk berunding.

Mengenai simbolisme itu, Karnavian berkata Kerajaan Pusat berusaha sedaya upaya untuk memindahkan mangsa dan menyalurkan bekalan yang amat diperlukan selepas banjir dan tanah runtuh melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Beliau mengakui terdapat kekurangan dalam tindak balas kerajaan dan menyatakan keadaan geografi yang sukar serta akses terhad sebagai cabaran utama, sambil meminta maaf mengenai tanggapan sesetengah penduduk sebagai tindak balas yang tidak mencukupi.

“Sebagai kerajaan, menjadi tanggungjawab kami untuk terus bekerja, mengatasi halangan, meningkatkan prestasi dan segera memenuhi keperluan kecemasan saudara-saudari kami di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat,” katanya seperti dipetik portal berita Antara.

Kenyataan Karnavian itu dibuat susulan laporan mengenai penduduk yang mengibarkan bendera putih di beberapa kawasan terjejas bencana di Aceh, termasuk Aceh Tamiang, Bireuen, Aceh Utara, Pidie Jaya dan ibu negeri Banda Aceh.

Gabenor Aceh, Muzakir Manaf, sebelum ini menyifatkan tindakan itu sebagai usaha penduduk untuk menarik perhatian kerajaan dan antarabangsa, bukannya tanda penyerahan atau ketidakpercayaan terhadap Kerajaan Pusat.

“Saya tidak fikir bendera itu tanda menyerah. Ia bertujuan menarik perhatian,” katanya ketika penyerahan bantuan bencana daripada Kementerian Pertanian dan Badan Ketahanan Pangan Nasional di Aceh Utara kelmarin.

Beliau juga menekankan kerajaan pusat terus mengagihkan bantuan dan mempertingkatkan usaha pemulihan walaupun menghadapi cabaran besar.

“Kerajaan Pusat tidak berdiam diri. Kita semua sedang bekerja,” kata gabenor itu. – AGENSI