DUBAI: Ribut hujan luar biasa dalam beberapa bulan melanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak semalam, menyebabkan jalan raya dinaiki air di bandar besar dan berpuluh-puluh penerbangan dibatalkan atau ditunda.
Syarikat penerbangan Emirates di Dubai membatalkan 13 penerbangan, manakala terdapat juga kelewatan dan pembatalan di lapangan terbang Sharjah yang berdekatan selepas hujan lebat semalaman, dengan kilat dan guruh yang kuat.
Jalan utama Sharjah dinaiki air, dengan penduduk terpaksa berjalan tanpa kasut, manakala seorang lelaki menunggang basikal melalui air setinggi roda basikal.
Kejadian itu mengingatkan banjir luar biasa pada April 2024 yang memaksa pembatalan lebih 2,000 penerbangan di Dubai.
Polis Dubai sebelum ini menasihatkan penduduk supaya kekal di rumah kecuali perlu.
Trak pam air dikerahkan untuk membersihkan jalan tersumbat dan lopak besar di bandar.
Pusat Meteorologi Nasional UAE memberi amaran hujan lebat sejak Khamis, termasuk di Dubai dan Abu Dhabi.
Hujan lebat juga melanda negara Teluk lain, termasuk Qatar, menyebabkan perlawanan Piala Arab dibatalkan.
Hujan luar biasa tahun lalu direkodkan sebagai paling teruk sejak 76 tahun lalu, meragut sekurang-kurangnya empat nyawa dan melumpuhkan Dubai selama beberapa hari.
Kajian mendapati pemanasan global akibat pelepasan bahan api fosil mungkin memburukkan hujan lebat di UAE dan Oman. – AFP

