PM ucap tahniah pencapaian membanggakan kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Kontinjen Malaysia atas pencapaian membanggakan pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan itu adalah hasil disiplin yang tinggi, pengorbanan yang berterusan serta semangat juang para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak pernah luntur dalam mengharumkan nama negara di persada serantau.

“Pencapaian ini wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama yang lain, agar Malaysia kekal berdaya saing dan disegani di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam masa sama, Anwar berkata, Malaysia akan memastikan persiapan sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa.

Menurut beliau, persediaan itu bukan sekadar dari sudut prasarana dan penganjuran, tetapi dalam membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat berkelas dunia.

“Lebih daripada itu, sukan adalah wadah penyatuan rakyat yang menyatukan kita merentas kaum, wilayah dan latar belakang dalam satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional.

“Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa,” ujarnya.

Malaysia mempamerkan prestasi membanggakan dalam penganjuran Sukan SEA 2025 di Thailand yang melabuhkan tirainya kelmarin, dengan menutip 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, sekali gus menutup kempen dengan 231 pingat secara keseluruhan.

Kutipan pingat itu melepasi sasaran 200 pingat ditetapkan sebelum ini, selain mencipta sejarah baharu dengan kutipan tertinggi pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur, mengatasi rekod 216 pingat dicatat pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Malah, kutipan 57 pingat emas pada temasya Sukan SEA kali ini juga merupakan pencapaian terbaik negara dalam tempoh enam tahun selepas mengutip 55 pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina. – MalaysiaGazette