KOTA BHARU: Polis Kelantan menegaskan hanya kes rogol suka sama suka saja akan dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusuff Mamat, berkata perkara itu diputuskan hasil persetujuan dan perbincangan dengan JAHEAIK.
Susulan itu, beliau berkata, siasatan kes membabitkan perempuan menjadi mangsa rogol akan mengguna pakai undang-undang sedia ada.
“Jika wanita yang menjadi mangsa rogol, kes tidak akan dirujuk kepada JAHEAIK, sebaliknya siasatan mengguna pakai undang-undang sekarang.
“Jadi, tidak ada isu bagi kes rogol suka sama suka hasil pengakuan daripada kedua-dua pihak (lelaki dan perempuan) untuk dirujuk kepada JAHEAIK bagi tindakan ke atas perempuan yang tidak dituduh mengikut undang-undang sivil.
“Kes ini akan dirujuk kepada JAHEAIK kerana kes rogol suka sama suka disiasat sebagai kes zina mengikut undang-undang syariah. Jika kes rogol ia disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menegaskan rogol statutori terhadap kanak-kanak adalah suatu kesalahan jenayah serius dan ia harus disiasat serta didakwa mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah yang terpakai.
Kenyataan itu merujuk kenyataan Ketua Polis Kelantan mengenai tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merujuk kes rogol statutori yang membabitkan kanak-kanak kepada pihak berkuasa agama Islam.
Selain itu, beliau berkata, wanita bukan bawah umur tetapi terbabit perbuatan amang seksual secara suka sama suka juga akan dirujuk ke JAHEAIK.
Mohd Yusuff berkata, setakat ini lima kes rogol suka sama suka yang sudah dirujuk kepada JAHEAIK untuk tindakan lanjut.

