Tiga bekas juruterbang Malindo Airways dapat pampasan RM1.44 juta

KUALA LUMPUR: Tiga bekas juruterbang Malindo Airways Sdn Bhd berjaya memperoleh pampasan keseluruhan berjumlah RM1.44 juta, selepas Mahkamah Perusahaan membenarkan tuntutan mereka yang ditamatkan perkhidmatan tanpa alasan sah.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Zalina Awang@Mamat, membuat keputusan itu selepas mendapati penamatan perkhidmatan ketiga-tiga bekas juruterbang berkenaan gagal dibuktikan oleh syarikat sebagai pemberhentian secara bona fide (niat baik).

Ketiga-tiga mereka yang bertindak sebagai penuntut ialah juruterbang perintis M Muralitharan; Penolong Juruterbang Nik Afiq Farhan Nik Mohd Hilmi; dan Kapten, Foong Wai Ming.

Muralitharan Wai Ming berkhidmat dengan syarikat selama tujuh tahun, manakala Nik Afiq mula bekerja pada tahun 2015 sebelum mereka ditamatkan perkhidmatan pada 1 November 2020.

Mahkamah memerintahkan Malindo Airways membayar pampasan masing-masing berjumlah RM596,000 kepada Muralitharan dan Wai Ming, manakala Nik Afiq menerima pampasan sebanyak RM252,000.

Zalina memerintahkan pampasan terbabit dibayar dalam tempoh 30 hari daripada penghakiman dengan faedah lapan peratus setahun dikira selepas tempoh 30 hari sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya.

Dalam penghakimannya, Zalina berkata mahkamah mendapati Malindo Airways bertindak memberhentikan ketiga-tiga juruterbang terbabit tanpa sebarang bukti yang mencukupi, walaupun syarikat mendakwa ia berdepan masalah kewangan akibat pandemik COVID-19.

Beliau memutuskan bahawa adalah tidak sesuai untuk mengembalikan jawatan ketiga-tiga mereka kerana hubungan antara penuntut dan syarikat telah menjadi tidak baik, dan pemberian pampasan adalah penyelesaian yang wajar.

Zalina berkata syarikat gagal membuktikan bahawa pemecatan mereka dibuat dengan sebab atau alasan yang sah di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

“Dalam keadaan kemerosotan ekonomi secara umum, syarikat memang berhak untuk melakukan pemberhentian kerja, namun ia mesti dilaksanakan secara adil.

“Hujahan syarikat mengenai penutupan operasi adalah tidak meyakinkan memandangkan operasi masih diteruskan, dividen masih dibayar dan infrastruktur perniagaan masih kekal selepas tarikh penamatan perkhidmatan,” katanya.

Zalina berkata, walaupun majikan mempunyai perogatif untuk menyusun tenaga kerja sewaktu terjadinya wabak pandemik, ia tidak bersifat mutlak dan tertakluk dengan Undang-Undang Buruh.

Beliau berkata, mahkamah turut mendapati pelaksanaan pemberhentian berkenaan tidak disertai dengan penjelasan munasabah mengenai pemilihan pekerja dan tidak mematuhi prosedur.

Katanya, prinsip Last-In-First-Out (LIFO) tidak boleh diketepikan sewenang-wenangnya tanpa justifikasi yang kukuh, walaupun dalam keadaan luar biasa seperti pandemik.

“Mahkamah juga mengambil kira isu ketiadaan rundingan, pemberian tempoh notis yang singkat dan kegagalan majikan mengemukakan bukti lengkap bagi menyokong dakwaan lebihan pekerja.

“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan penamatan perkhidmatan ketiga-tiga pihak penuntut adalah tidak sah, sekali gus membenarkan tuntutan yang dikemukakan terhadap Malindo Airways,” katanya.

Zalina turut mengarahkan Malindo Airways membayar pampasan kewangan kepada ketiga-tiga pihak menuntut, termasuk pampasan ganti kerja semula dan bayaran berkaitan sebagai remedi atas penamatan perkhidmatan yang didapati tidak sah.

Nik Afiq diwakili peguam Mohd Syahril Daud; Muralitharan diwakili Hema Kumar Nageswana Row; manakala Wai Ming diwakili Nur Zur’ain Mat Ramlee dan Malindo Airways pula diwakili peguam Jeyandran Ramachandran.