WASHINGTON: Sekurang-kurangnya dua mangsa maut manakala beberapa yang lain dilaporkan hilang selepas satu letupan kuat meruntuhkan sebahagian daripada rumah penjagaan di timur Pennsylvania, menurut gabenor negeri itu.
Pihak berkuasa di Bucks County, utara Philadelphia di Amerika Syarikat (AS), menyatakan bahawa kebocoran gas berkemungkinan menjadi punca letupan.
Ia menyebabkan sebahagian daripada Rumah Penjagaan Silver Lake runtuh, sekali gus memerangkap beberapa individu di bawah runtuhan yang terbakar.
“Setakat ini, terdapat sekurang-kurangnya dua kematian. Kami tahu terdapat sebilangan individu yang masih hilang,” kata Gabenor Josh Shapiro dalam satu sidang akhbar.
Gabenor turut memuji tindakan pantas pasukan penyelamat, terutama anggota bomba yang menyelamatkan penghuni rumah penjagaan sebelum menyerahkan mereka kepada polis.
“malah, ada kalanya seorang membawa dua mangsa digalas di belakang mereka untuk dibawa ke tempat selamat.
Ketua Balai Bomba Bristol Township, Kevin Dippolito berkata, terdapat bau gas yang kuat ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, apabila letupan berlaku, terdapat runtuhan struktur yang besar, dengan sebahagian tingkat bawah runtuh ke ruang bawah tanah, menyebabkan beberapa mangsa terperangkap.
“Mereka berjaya mengeluarkan ramai penghuni dari bangunan melalui tingkap, dan pintu selain mereka yang tersangkut di tangga dan ruang lif,” katanya.
Dippolito memaklumkan bahawa lima orang masih belum ditemui, namun angka tersebut hanyalah jumlah awal.
“Kami masih dalam mod menyelamat sehingga kami pasti bangunan itu benar-benar kosong,” katanya.
Shapiro berkata, kemudahan itu baru sahaja bertukar pemilik pada bulan ini, dan pemeriksa kesihatan Pennsylvania telah melawat premis berkenaan pada 10 Disember lalu untuk bertemu kakitangan bagi merangka pelan penambahbaikan mengikut piawaian di pusat itu. – AFP

