MELAKA: Lebih 15,600 warga Melaka menyertai Sukan Melaka 2025 sekali gus mengatasi pencapaian edisi sebelumnya.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peningkatan itu susulan lebih banyak acara menarik pada edisi kali ini yang bukan sekadar pertandingan semata-mata sebaliknya turut membina kekuatan fizikal, ketahanan mental dan silaturrahim semua peserta dan mereka yang terlibat.
Katanya, antara acara yang dipertandingkan termasuk bola sepak, sepak takraw, badminton serta sukan tradisional seperti dam aji dan konda kondi.
Menurutnya, keseluruhan peserta tampil dengan semangat juang tinggi, disiplin selain membina cinta terhadap sukan sekali gus melahirkan generasi sihat dan cergas.
“Sukan Melaka 2025 bermula di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 19 Julai 2025 sebelum diteruskan ke peringkat negeri pada 5 September dan melabuhkan tirainya pada 22 Disember 2025.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua atlet, jurulatih, pegawai pasukan serta penyokong yang menjadi nadi kejayaan kepada penganjuran kejohanan kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan Melaka 2025 Peringkat Negeri Melaka Piala Ketua Menteri Melaka serta Perlawanan Akhir Bola Sepak di Stadium Hang Tuah kelmarin.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Beliau berkata, kejohanan turut menyokong agenda pembangunan sukan Melaka ke arah yang lebih progresif dan inklusif.

