PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam termasuk hakim bukan atas desakan mereka, sebaliknya dibuat kerana ada keperluan selepas kali terakhir kenaikan tahunan gaji penjawat awam berlaku lebih 10 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tanggungjawab penjawat awam juga sudah bertambah dan gaji yang diterima hanya sekadar memenuhi keperluan keluarga.
“Kenaikan gaji itu menyebabkan kos tambahan keseluruhan RM18 bilion. Ini bukan kerana tuntutan penjawat awam, (sebaliknya) kerana kita lihat tanggungjawab bertambah dan (selama) 12 tahun diakui gaji mereka hanya memenuhi hak sebagai ketua keluarga.
“Jadi, saya mulakan dengan memberikan keadilan kepada rakan penjawat awam. Ini termasuk gaji hakim.
“Ada yang bertanya kenapa naik mendadak 30 peratus. Ini kerana selama 10 tahun sejak 2015, tidak ada kenaikan tahunan, tidak ada kajian semula,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun 2026 Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pagi ini.

