KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BERSATU bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman, tiga tahun lalu.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda,” katanya.
Pada 24 November 2023, Razali, 59, yang juga bekas Ketua Penerangan BERSATU minta dibicarakan atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut apabila mendakwa keputusan satu kes mahkamah dikawal oleh kerajaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu antara jam 9.30 malam dan hingga 11.30 malam pada 10 November 2023 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham, memohon Razali dihukum penjara kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.
“Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal, tegas dan berkesan terhadap tertuduh, hukuman denda semata-mata tidak memadai kerana tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
“Tertuduh adalah individu berkedudukan tinggi dan berpengaruh, hukuman denda berpotensi dilihat sebagai satu beban yang boleh ditanggung tanpa memberikan kesan pencegahan sebenar,” katanya.
Izzat Amir berkata, tertuduh bukan individu biasa sebaliknya seorang ADUN dan pemimpin politik yang dipilih rakyat serta memegang amanah awam.
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili Razali, memohon anak guamnya tidak dihukum penjara atas alasan banyak menabur jasa dalam politik di negara ini.
“Dalam kes ini, tidak timbul isu keselamatan negara dan ketenteraman awam kerana kenyataan itu tidak memberikan kesan kepada masyarakat.
“Hukuman pemenjaraan melebihi 12 bulan atau denda melebihi RM2,000 akan menyebabkan tertuduh hilang kelayakan sebagai ADUN, selaras Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan sekali gus menyebabkan PRK perlu diadakan,” katanya.
Beliau berkata, kepentingan awam perlu dilihat secara menyeluruh termasuk keperluan menjimatkan perbelanjaan negara.
Pendakwaan mengemukakan empat saksi manakala pembelaan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula pada September 2025.
Razali yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, membayar denda berkenaan. – BERNAMA

