KUALA LUMPUR – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 kepada setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan dikreditkan 9 Februari 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu melibatkan kira-kira 22 juta rakyat Malaysia dan bertujuan membantu persiapan menjelang bulan Ramadan serta sambutan Tahun Baharu Cina pada akhir Februari.
Menurut beliau, bantuan SARA tahun ini diberikan secara menyeluruh kepada semua rakyat dewasa, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup.
“SARA tahun ini sebanyak RM100 diberikan kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas dan akan dikreditkan pada 9 Februari 2026. Ia bertujuan membantu persiapan Ramadan dan juga sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri dan Amanat Tahun 2026 di Dewan De Seri Endon, PUSPANITAPURI, di Putrajaya, hari ini.
Anwar turut memaklumkan, pelaksanaan SARA pada tahun lalu mencatatkan kadar penggunaan tinggi iaitu 96 peratus, dengan jumlah perbelanjaan mencecah hampir RM2.1 bilion, manakala baki RM150 juta tidak dibelanjakan.
Menurutnya, baki tersebut tidak diambil oleh kerajaan, sebaliknya diagihkan semula kepada golongan yang memerlukan termasuk penghuni pusat perlindungan keganasan rumah tangga, pelajar orang kurang upaya (OKU) dan berkeperluan khas, pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin serta inisiatif bank makanan dapur siswa.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, bantuan SARA bulanan sehingga RM200 akan mula dikreditkan secara berperingkat melalui MyKad bermula 9 Januari 2026.
Selain itu, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 Fasa Satu melibatkan bantuan sehingga RM500 akan mula disalurkan kepada penerima yang layak bermula 20 Januari 2026. – MalaysiaGazette

