Peniaga disyaki langgar doktor di lorong RFID didakwa

BUKIT MERTAJAM – Seorang peniaga makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang doktor dengan melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta pada Disember lalu.

Tertuduh, Khor Wei Yeak, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Cina oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas L. Avinash, 32, dengan melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta di lorong ketiga Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Plaza Tol Perai pukul 11.30 malam pada 28 Disember lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam C. Hari Prassaad Rao.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM8,000

Bagaimanapun, dalam mitigasi rayuannya, Hari Prassaad Rao memaklumkan, tertuduh merupakan peniaga makanan dengan pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan serta mempunyai tanggung isteri serta seorang anak berusia setahun lima bulan.

“Saya mohon mahkamah untuk mengambil kira faktor anak guam saya telah direman sejak 29 Disember lalu dan sepanjang tempoh tersebut dia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Isteri tertuduh sebelum ini turut ditahan bagi membantu siasatan namun permohonan reman terhadap wanita berkenaan telah ditolak oleh mahkamah.

“Selain itu, untuk makluman mahkamah pada asal kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan namun hari ini dia dituduh mengikut Seksyen 324, justeru saya memohon jaminan minimum diberikan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

Media pada 30 Disember lalu melaporkan suspek direman lima hari bagi membantu siasatan mendatangkan kecederaan terhadap seorang doktor di lorong RFID Plaza Tol Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di sini, pada 28 Disember lalu.

Sebelum ini, tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dilanggar sebuah SUV jenis Proton X50 di sebuah plaza tol dipercayai di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth dekat Perai.

Video berdurasi 26 saat itu memaparkan kenderaan tersebut diundur sebelum mangsa dilanggar dari arah depan.

Kenderaan itu kemudiannya dilihat menukar laluan ke lorong tol di sebelah kanan. – MalaysiaGazette