Warga Singapura isi RON95: Kertas siasatan dirujuk TPR

KULAI – Kertas siasatan sudah dibuka terhadap pemandu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang menutup sebahagian nombor plat untuk mengisi RON95 sehingga tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki berkenaan sudah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membantu siasatan.

“Pemandu tersebut hadir bersama-sama isterinya masing-masing berusia 63 dan 67 tahun.

“Kertas siasatan masih tindakan dan akan rujuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR) segera untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat dalam media sosial memaparkan seorang individu yang mengesan perbuatan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang sedang mengisi RON95.

Pemilik video mendakwa kemungkinan itu taktik baharu warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing itu supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.

Apabila didekati dan disoal pemilik video, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.- MalaysiaGazette