‘Harga durian jatuh, ramai boleh makan Musang King sekarang’ – Peniaga durian

JITRA: Lambakan durian di pasaran ketika ini menyebabkan harganya jatuh merudum terutama durian kampung yang kini dijual serendah RM3 sekilo.

Ini disebabkan durian yang terlalu banyak di kebun hingga peniaga terpaksa menjualnya dengan harga rendah bagi mengelak buah rosak jika dibiar terlalu lama.

Kejatuhan harga itu juga menyebabkan durian premium seperti Musang King, D24, Black Thorn dan IOI kini murah, sekali gus membuka peluang lebih ramai golongan berpendapatan sederhana dan rendah menikmati varieti durian berkualiti tinggi itu.

Peniaga durian, Muhammad Azizi Azizan, 35, berkata lambakan durian premium dari kebun komersial dan persaingan pasaran antara faktor utama penurunan harga yang menyebabkan ia merubah corak jualan di kebanyakan gerai durian.

Beliau berkata, harga durian premium termasuk Musang King di gerainya kini dijual serendah RM15 hingga RM30 sekilogram mengikut gred.

“Saya anggarkan kira-kira 80 peratus pembeli durian premium ketika ini golongan sederhana yang sebelum ini tidak berpeluang merasainya.

“Setakat ini, saya tidak menjual durian kampung kerana harganya terlalu rendah, selain permintaan durian premium lebih tinggi disebabkan harga yang merosot.

“Saya dapat menjual kira-kira satu tan durian premium sehari dan tidak mengambil stok harian yang banyak kerana bimbang buah cepat rosak,” katanya.