Malaysia-Turkiye meterai tujuh dokumen perkukuh kerjasama strategik dua hala

ANKARA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hari ini menyaksikan pemeteraian tujuh dokumen bagi mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara merentasi pelbagai bidang keutamaan.

Pemeteraian dokumen berkenaan disempurnakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri selama tiga hari ke Turkiye atas jemputan Erdogan yang bermula semalam.

Antara dokumen yang ditandatangani ialah Deklarasi Bersama Mengenai Penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLCSS).

Selain itu, Surat Niat (LoA) perolehan sebuah Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 turut dimeterai antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Desan Shipyard.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman antara Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri  Mohamad Salim Fateh Din (berdiri, kiri) dan Presiden Pihak Berkuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi Turkiye, Omer Abdullah Karagozoglu (berdiri, kanan) sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye di Kompleks Presiden hari ini. - foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman antara Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (berdiri, kiri) dan Presiden Pihak Berkuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi Turkiye, Omer Abdullah Karagozoglu (berdiri, kanan) sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye di Kompleks Presiden hari ini. – foto BERNAMA

Dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Informasi dan Teknologi Komunikasi Republik Turkiye memeterai Memorandum Persefahaman (MoU).

Dalam bidang penyelidikan dan pemikiran strategik, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) memeterai MoU Kerjasama Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Kerjasama kewangan dan pelaburan Malaysia dan Turkiye pula diperkasakan menerusi pemeteraian MoU Kerjasama Kewangan antara EXIM Bank Malaysia dan Turk Eximbank serta MoU Kerjasama Pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Türkiye.

Kedua-dua negara turut bertukar Minit Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-Turkiye.

Pemeteraian keseluruhan dokumen berkenaan mencerminkan kesepakatan Malaysia dan Türkiye untuk membina hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi, berteraskan kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat.